Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Tidak dinafikan, mendidik anak bukanlah satu tanggungjawab yang mudah, apatah lagi jika anak tersebut bukan ‘normal’ seperti kanak-kanak seusianya yang lain.
Ini kisah ibu bapa yang diuji dengan anak yang ‘istimewa’. Tinggi sungguh kesabaran mereka dalam menjaga dan mendidik anak ini. Besarnya kasih dan pengorbanan seorang ibu, ayuh contohi dan ambil iktibar daripada kisah ini!
Selagi Belum Ajal Tidak Terlewat Menuntut Ilmu
(Sekadar Gambar Hiasan)
Ceritanya, dilahirkan pada 13 November 1993, hari Deepavali. Masuk Bilik Bersalin pukul 7.30 malam selepas Maghrib. Bersembang-sembang dengan Dr Jaidan. 8.30 malam dah rasa sakit, tapi bidan kata belum masanya. 8.40 malam, tak semena mena rasa sakit sangat, dan tiba tiba terdengar suara tangisan bayi. Rupanya dah lahir tanpa disedari oleh doktor dan bidan. Kelam kabut doktor nak pakai sarung tangan untuk sambut bayi.Sebaik lahir, diazan dan diiqamatkan sendiri di dalam wad. Katil wad dengan Bilik Bersalin sebelah menyebelah aja. Dah lahir dan kami ditempatkan sebilik. Tak nak tidor malam tu selepas lahir. Esoknya dah boleh pulang ke rumah.Umur 8 bulan, jemputan rehlah di Desaru bersama jemaah hizbi Islami. Kami tidor di khemah tepi pantai. Ada chalet, tak nak sewa. Abang angah nak tidor dalam khemah dengan abang abang siswa. Jadi ummi tidor dalam khemah bersama Najdah Othman, Amiratun Nazihah dan Ahmad Baihaqi. Masa tu Ahmad Baihaqi berumur 8 bulan, bam bam sangat.Tiba tiba tengah malam tu hujan turun dengan lebatnya. Air masuk dalam khemah. Alas getah terapung. Segera saya pangku Ahmad Baihaqi. Terus zauj sewa chalet dah pindahkan saya dan anak anak ke chalet.2 hari selepas balik dari perkhemahan, Ahmad Baihaqi demam. Suhunya tinggi. Bawa ke klinik dan doktor beri paracetamol dan antibiotik. Habis ubat, suhu masih tinggi, pergi lagi ke klinik. Sambung ubat dan antibiotik. Bila makan ubat suhu menurun, habis masa patut makan ubat suhu tinggi. Begitulah dalam tempoh 6 hari. Hari ke 7, masih demam, suhu tinggi, sekali lagi ke klinik. Subuh subuh saya berjalan ke klinik jalan kaki. Rumah dan klinik memang dekat.
Sakit Kritikal!
Kali ini doktor tidak lagi beri ubat, beri surat rujukan ke hospital. Terus saya bawa ke hospital, jabatan kecemasan dan trauma. Ambik darah dan dimasukkan ke wad. Di dalam wad, Ahmad Baihaqi mula muntah muntah dan tidak mahu menyusu. 2 jam selepas itu, keputusan darah keluar, mendukacitakan ada kuman dalam darah. Doktor mohon untuk ambil cecair tulang belakang. Masa itu Ahmad Baihaqi mula diserang sawan. Badan mengeras dan mata kaku. Keputusannya, kuman dikenalpasti dan diberikan antibiotik yang betul melawan kuman.Namun, kuman sudah memasuki seluruh saluran darah , doktor tulis septicemia. Ahmad Baihaqi mula tidak sedar diri. Organ dalaman membengkak dan tidak berfungsi. Antaranya Hati dan buah pinggang membengkak dan tidak berfungsi. Nampak jelas perutnya membusung, warna kulit jadi gelap. Kulit kulit dibahagian nipis mula terkoyak dan berdarah. Ketiak, punggung, bibir dan jari jari mula pecah dan berdarah. Doktor masukkan tiub melalui mulut untuk beri susu. Hidung dipasang saluran oksigen. 7 hari dalam keadaan begini. 5 hari 5 malam saya menangis, saya cuma tinggalkan katil Ahmad Baihaqi yang ditempat di wad A 4 untuk solat dan makan. 5 hari 5 malam pertama saya tak tidor menunggu disisi Ahmad Baihaqi.Solat hajat dan munajat yang tidak putus putus agar Allah mempermudahkan urusan kesembuhan Ahmad Baihaqi. YA Allah, jika panjang umur itu baik untuk Ahmad Baihaqi maka sembuhkanlah jadikanlah dia anak yang Engkau redhai, jika mati itu lebih baik, maka ambillah dia di dalam keredhaaan Mu. Tidak putus doa ini saya panjatkan kepada Allah disetiap hembusan nafas dan degupan jantung saya.Doktor sudah terangkan keadaan Ahmad Baihaqi yang tidar sedar, dalam keadaan kritikal kerana setiap antibiotik yang diberikan akan ditentang semula oleh kuman yang ada dalam darahnya. Line akan bengkak dan tersumbat. Badan yang bengkak menyukarkan mencari urat untuk pasang line. Akhirnya doktor membuat line melalui urat urat di kepala. Itu pun sama, pertahanan kuman lebih kuat ?ari antibiotik diberikan. Bengkak bahagian tu dan line tersumbat. Ada 3,4 tempat di dahi dan di kepala kesan parut parut ini yang membesar seperti luka kesan kemalangan.Dah 15 hari dapat dikesan paha yang bengkak, asalnya ada titik merah, telah membesar dan berwarna hitam. Rupanya seperti terkena minyak panas. Mengelembung. Menakutkan. (Padahla mana ada terkena minyak panas atau air panas) Doktor ambik sample cecair yang terkandung dalam kulit yang mengelembung tu. Hari ke 20 dapat keputusan dan dikesan jenis kuman. Daging paha dibuang hingga ke tulang. Kulit disiat dan daging dilapah lapah hingga ada kesan berdarah. Sakitnya tidak terperi apabila dicuci setiap hari. Menjelang hari ke 20 Ahmad Baihaqi sudah sedar dari koma yang panjang. Sebab itu ketika dagjng dilapah lapah dan luka dicuci dia menangis kesakitan.Antibiotik diteruskan hingga hari ke 30. Masih tinggal di dalam wad. Kini berada di wad Timur 5, wad Paedratik Pembedahan di HSAJB.Ketika mula sedar, Bila diberikan susu ibu, ada respon dan tindak balas. Cuma Ahmad Baihaqi tidak kenal saya. Doktor kata ambik masa untuk mengenali orang orang yang berada disekitarnya. Dengan kesakitan yang dialami, daya ingatan lemah setelah lama ‘rehat’. Rupanya ‘rehat’ yang panjang tu memberikan masa kepada kita dan para doktor menjalankan ujian ujian mengenal pasti jenis kuman dan kaedah rawatan yang sesuai dengan kesakitan yang dialaminya. Sudahlah tidak tahu punca dan sebab tiba tiba Ahmad Baihaqi sakit terlantar tidak bergerak, organ – organ tidak berfungsi. Rawatan diteruskan hingga 4 bulan kemudian. Bermakna umur Ahmad Baihaqi mencecah 1 tahun dia masih menjalani rawatan septicemia, angkara kuman yang memasuki saluran darah.Selepas itu rawatan luka, menunggu daging paha tumbuh dan menutup lubang paha yang lompong. Sudah mula mahu melangkah, tetapi perlu jalani fisioterapi apabila kesan pembedahan di paha boleh menyebabkan panjang kaki tidak sama. 3 tahun selepas itu masih lagi dibawah pemantauan doktor pakar. Kesan pertumbuhan dan perkembangan yang agak lewat. Keupayaan bercakap sekitar 5 tahun. Cuma suka memerhati. Input segala maklumat di dalam minda.
Lambat Dalam Pelajaran…
Menjelang usia 9 tahun baru boleh mengeja dan mula belajar membaca. Ketika usia 7 dan 8 tahun Saya dan suami mengajar secara individu apabila sekolah menjalankan program Titian Kasih. Ibu atau bapa ambik anak dari kelas pada waktu pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu, dan mengajar mereke mengenal huruf, suku kata secara individu. Ibu bapa sendiri yang mengajar dan membimbing anak sehinggalah mereka boleh membaca. Apabila boleh membaca barulah mereka boleh berada di dalam kelas seperti pelajar lain. Program ini membantu anak kita yang ketinggalan sedangkan rakan rakan dalam kelas sudah boleh membaca.Apabila berada di tahap dua, kelas tahun 4, 5 dan 6 perlu menulis ayat ayat untuk membuat karangan pendek. Apabila pulang dari sekolah, Ahmad Baihaqi akan bagitahu kerja sekolahnya, jika perlu membina ayat, saya yang akan bina ayat, dia yang tulis ayat tu di dalam buku. Begitu juga karangan pendek, saya yang buat ayat ayat dalam karangan, dia yang tulis sendiri. Memang kerja sekolahnya, saya berikan jawapan, tetapi dia yang tulis. Saya tak mahu dia rasa rendah diri apabila kerja sekolah tidak siap. Saya juga tidak mahu dia meniru kerja sekolah kawan.Apabila cuti sekolah, saya sediakan buku buku latihan untuk dibuat. Saya suruh dia menyalin contoh contoh karangan dari buku buku panduan UPSR. Saya benarkan dia bermain, menonton tv sambil belajar. Ada jadual bermain, menonton tv dan belajar. Untungnya ketika itu belum ada games dalam komputer walaupun saya telah memiliki komputer. Mungkin komputer generasi awal yang masih menggunakan disk Floppy A.Ketika keputusan UPSR diumumkan, Ahmad Baihaqi mendapat keputusan 1A, 2B, 2C. Yang A adalah subjek penulisan Bahasa Melayu, bukan subjek pemahaman yang jawapannya objektif. MASYA Allah, gembiranya saya, dia mendapat cemerlang subjek yang memerlukan pemikiran dan ingatan atas latih tubi yang dilakukan sebelumnya. Jawapan yang bukan boleh teka teka atau agak agak seperti subjek yang ada jawapan pilihan A,B,C dan D.Apabila petang sekolah kebangsaan, sebelah pagi ke sekolah agama. Apabila pagi ke sekolah kebangsaan, petang ke sekolah agama. Belajar di sekolah agama hingga darjah 4. Beberapa tahun tidak naik kelas kerana tidak lulus dan akhirnya apabila 3 tahun tidak naik naik kelas, berhenti sendiri tanpa sijil. Masa itu anak anak tidak nampak keperluan menuntut ilmu untuk akhirat. Bosan belajar , dia berhenti sendiri. Kita sabar , terus berdoa.Apabila naik sekolah menengah, dialah satu satunya anak yang saya tidak mahu dia dihantar ke sekolah berasrama. Saya mahu bimbing sendiri di rumah. Pelajaran sekolah menengah mencabar, saya tidak mahu dia ketinggalan. Berdikari pun perlu dibimbing bukan disuap. Apabila keputusan PMR diumumkan, subjek cemerlang dapat A adalah Kemahiran Hidup. Yang lain lain B, C dan D.Dari keputusan ini , jelas menunjukkan mana mana subjek yang perlu dilakukan dengan menggunakan fikiran dan ingatan mampu dilakukan. Saya mencadangkan masuk kealiran ERT apabila memasuki tingkatan 4. Satu satunya pelajar lelaki yang mengambil subjek ERT. Bidang kokurikulum pun saya sarankan melibatkan diri ke unit Bomba dan Kembara. Saya suka dia melibatkan diri dalam aktiviti lasak. Anak yang selalu meminta pandangan dan pendapat ibu dalam apa jua urusan harian dan kehidupan. Nampak seseolah anak emak, semua keputusan emak yang tetapkan.
Ingin Belajar Agama
Apabila keputusan SPM diumumkan, subjek cemerlang A ialah ERT dan Sains. Sains dalam bahasa Inggeris tu. Alhamdulillah. Permohonan ke IPT pun Ahmad Baihaqi minta saya pilihkan untuknya termasuklah kursus yang sesuai. Saya pilih sambung penggajian di IPT Swasta tempat berhampiran rumah dan kursus Diploma Kulinari. Tamat penggajian Diploma, terus mendapat kerja yang berkaitan kursus penggajian Diploma dahulu. Sehingga tamat Diploma, masih tetap tinggal bersama saya di rumah. Hanya ketika menjalani kursus latihan dan praktikal saja berjauhan dari keluarga.Sebagai hadiah, saya berikan pakej mengerjakan Umrah bersama sama adik , abang dan ayah. Bulan April 2015 mereka bersama sama ke Makkah dan Madinah Al Munawarah. Taufik dan hidayah Allah, adalah kurniaan abadi yang terindah kepada sesiapa sahaja yang Allah kehendaki.Balik dari mengerjakan umrah, dalam bulan Rejab, Ahmad Baihaqi memohon izin dari saya untuk belajar agama di pondok. Dia merasakan kosong sangat ketika di Masjid Haram. Tak pandai mengaji, baca quran tidak lancar dan merasa solat yang dikerjakan tidak sempurna. Melihat orang lain bersungguh sungguh mengerjakan ibadah, solat sunat dan membaca quran. Terasa diri sangat kerdil kerana kekurangan diri. Menangisi diri yang terasa hanya mengejar dunia tetapi akhirat tertinggal. Selalu menyoal diri, amalan apakah yang mahu dibawa sekiranya solat pun tidak sempurna, baca quran pun tergagap gagap.Mendengar permohonan Ahmad Baihaqi mahu menuntut ilmu, inilah khabar yang membahagiakan hati dan jiwa raga saya. Inilah suara hatinya. Fitrah setiap manusia. Keinginan sendiri mahu menuntut ilmu untuk akhirat, mahu masuk pondok, mahu belajar dari asas dan bawah tentang agama Islam. Menyerah diri seseolah tidak tahu apa apa. Saya bantu buat permohonan sendiri untuk memasuki Madrasah Hidayatul Mubtadiin, Pondok Pesantren Lirboyo, Jawa Timur.Tahun pertama, masuk kelas persediaan sahaja. Belajar Adap, Bahasa Jawa dan Al Quran dari asas. Apabila Madrasah cuti 2 bulan, Syaaban dan Ramadhan, Ahmad Baihaqi tidak pulang ke rumah, sebaliknya pergi ke Pondok lain yang tidak cuti, dimana Pak Kiai mensyarahkan kitab demi kitab. Selalu berusaha untuk menambah ilmu dan mengamalkan.Sungguh jauh berbeza, amalan dan keyakinan. Keyakinan menjadi imam solat. Amalan membaca al quran. Dengan bantuan , pertolongan Allah ke atas hamba yang tidak punya daya upaya, dengan kesungguhan, dalam 1 tahun hijrah Àhmad Baihaqi boleh membaca al quran dengan lancar, dengan tajwid dan mahraj yang betul. Sepanjang tempoh 1 tahun hijrah, setiap malam mereka wajib hadiri kelas Muratilil Quran. Sungguh untuk menjadi mukmin mesti dengan ilmu dan amalan. Tanpa ilmu kita tidak kemana mana. Kita akan sedar diri kita bodoh selamanya.Ahmad Baihaqi mula memasuki pondok penggajian ketika berumur 21 tahun. Umur 21 tahun tidak malu belajar semula membaca al quran dari alif. Tidak malu belajar fardhu ain dari asas taharah. Belum terlewat selagi ajal belum tiba. ALLAH beri peluang untuk menuntut ilmu, mengamalkan ilmu untuk menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah di alam ini. Alhamdulillah. Moga terus dipermudakan urusan di dunia dan akhirat kepada Ahmad Baihaqi.Kepada ibu ibu, jangan pernah berhenti berdoa untuk anak anak. 21 tahun saya berdoa memohon sekiranya panjang umur itu baik untuk Ahmad Baihaqi, jadikanlah dia anak yang Engkau redhai, hari ini saya melihat sendiri. Dan saya akan tetap terus berdoa, doa yang sama kepada semua anak anak. Saya seru nama anak menantu, saya sebut satu satu dengan nama penuh memohon keredhaan Allah ke atas mereka seperti mana saya redha ke atas mereka. Saya ampunkan dosa anak menantu setiap malam, sebelum tidor, saya mohon Allah kurniakan mereka kebaikkan di dunia dan kebaikkan di akhirat.Satu lagi saya nak ingatkan, jika keupayaan anak tidak sama dengan abang kakak, jangan dibezakan, sebaliknya dibantu, diberi lebih perhatian supaya dia tidak merasai kekurangan atau pilih kasih. Walaupun dia kecerdasannya lambat, sebagai ibu, terus berdoa, doa ibu tidak ada hijabnya. Semua anak anak adalah permata hati yang menjadi aset kita ke syurga.Begitu juga ke atas Baitus Solehah, penghuni, harta benda dan para penyumbang bersama keluarganya. Selalu diharapkan Allah mengurniakan kekayaan iman, kekayaan jiwa, kekayaan harta didalam rahmat Allah Ta’ala.
Sumber: Baitus Solehah
0 comments:
Post a Comment