Saturday 6 August 2016

Neelofa berangkat tunai haji pada 5 September selama dua minggu



KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2015, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 27, bakal menunaikan haji bersama ibu dan bapanya pada 5 September depan.

Neelofa yang ditemui pada majlis rumah terbukanya di De'Gouffron, Taman Pinggir Tun Dr Ismail, di sini, bersyukur apabila dijemput Allah untuk menjadi tetamu-Nya pada usia muda dan tidak menyangka, niatnya itu dipermudahkan dalam masa singkat.

"Sejak awal tahun ini, saya menyimpan niat untuk menunaikan haji dan berharap ia dimakbulkan Allah. Alhamdulillah, tidak sangka semua urusan dipermudahkan dan impian itu akhirnya menjadi kenyataan. Saya hanya berdoa semua urusan saya di sana nanti akan berjalan lancar dan mendapat keredaan Allah," katanya.

Dalam gembira dan teruja, Neelofa mengakui perasaannya ketika ini bercampur-baur kerana ia pengalaman pertamanya menunaikan ibadah haji. Neelofa akan berada di Tanah Suci sehingga 20 September depan.

"Sebelum ini, saya pernah dua kali ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. Pasti saya gembira dapat kembali ke sana sebagai tetamu Allah, malah lebih bermakna kerana saya ke Makkah untuk menunaikan Rukun Islam kelima. Saya rindu suasana tenang dan damai setiap kali beribadah di Tanah Suci.

"Saya hanya mampu berdoa supaya perjalanan saya kali ini dipermudahkan. Saya tidak tahu apa ujian yang akan diberikan Allah nanti. Saya sentiasa mengingatkan diri setiap apa juga dugaan Allah adalah untuk membawa saya lebih dekat kepada-Nya. Apa yang penting, saya perlu lakukan persiapan mental," katanya.

Neelofa berkata, sepanjang di Tanah Suci nanti, dirinya tidak akan lupa memohon segala urusan hidupnya diberkati Allah selain berdoa dipercepatkan bertemu jodoh.

Sementara itu, Neelofa akan kembali berlakon apabila menjayakan drama arahan Micheal Ang, Suri Hati Mr Pilot, yang memulakan penggambarannya pada 21 Ogos ini.


Sumber : http://www.bharian.com.my/node/180523

0 comments:

Post a Comment