KUALA LUMPUR – “Tiba-tiba ada orang tidak dikenali muncul di hadapan rumah saya, amat terkejut pada mulanya namun setelah diberitahu rupa-rupanya ada ‘Pokemon’ di atas bumbung!”
Lum berkata beliau hampir membuat laporan polis kerana gelagat lelaki itu sangat mencurigakan.
“Apabila saya bertanyakan kepada beliau, katanya ada seekor ‘Pokemon’ terbang ke bumbung dari taman permainan berhampiran rumah saya dan dia mengejarnya,” kata beliau kepada Bernama.
Beliau berkata walaupun baru sahaja dilancarkan semalam, fenomena permainan Pokemon GO dilihat sudah membuatkan ramai ‘terjebak’ dan jika tidak berhati-hati dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan seperti insiden membabitkan permainan itu yang dilaporkan di beberapa negara.
“Saya sendiri tidak berani untuk memuat turun aplikasi ini kerana rakan-rakan saya terlalu ketagih dengan permainan itu sehingga tidak menghiraukan keadaan sekeliling termasuk ketika melintas jalan,” katanya.
Mahasiswa universiti awam Lily Ferawati Rofil, 27, berkata gelagat pemain Pokemon GO boleh dilihat di mana-mana sahaja terutama di kawasan tumpuan ramai.
“Saya sendiri telah muat turun aplikasi itu dan mendapati kebanyakan tempat yang menjadi ‘sasaran’ pemain untuk memburu ‘pokemon’ adalah di rumah ibadah seperti masjid dan tokong, di hadapan bangunan-bangunan tinggi ataupun kawasan tersorok.
“Contoh, kawasan tersorok seperti papan tanda yang rosak ataupun di belakang tandas awam tiba-tiba dikerumuni orang ramai disebabkan permainan ini,” katanya.
Namun, beliau berkata aspek keselamatan awam dan diri perlu juga diambil kira apabila ‘terjebak’ dalam permainan sedemikian agar tempat-tempat dilarang tidak diceroboh.
Jurutera Awam Tieu Chect Hou, 28, berkata beliau hampir terlanggar seorang remaja perempuan yang terlalu ‘taksub’ memburu pokemon ketika makan tengah hari di sebuah restoran di Pudu.
“Saya tengok dia jalan ke hulu ke hilir sambil memegang telefon bimbit dan senyum seorang-seorang tanpa menghiraukan orang di sekeliling, sehingga melanggar orang pun tidak tahu untuk meminta maaf.
“Apabila melihat dari belakang, barulah tahu beliau sedang bermain Pokemon GO,” katanya.
Beliau berkata sejak Pokemon GO bermula semalam, beliau melihat ramai orang berperangai pelik seperti berkumpul di sesuatu tempat sambil bermain telefon bimbit sehinggakan mencetuskan kesesakan lalu lintas.
“Melihat keadaan ini, saya sudah tidak berani untuk memuat turun aplikasi itu kerana semua orang seolah-olah sudah ‘gila’ akibat terjebak dengan permainan itu,” katanya.
Pokemon GO, satu permainan realiti berperantara berasaskan lokasi yang dilancarkan secara rasmi pada 6 Julai lalu, kini memasuki pasaran Malaysia dan lebih 30 negara lain bermula semalam.
Aplikasi dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA itu merupakan permainan sembunyi-sembunyi konvensional di mana pemain perlu mencari dan berlawan dengan karektor maya berdasarkan lokasi dunia sebenar yang dikesan melalui telefon pintar. –
Sumber: BERNAMA
0 comments:
Post a Comment